"Nak beli ikan pun tak lepas, sekarang ikan kembung sekilogram RM10 sehingga RM12, harga getah baru RM2.90 sekilogram.
"Itu belum lagi bahagi dua dengan tuan tanah," luah penoreh getah, Hasma Aziz, 52.
Menetap di Kampung Keda Ulu Legong, Hasma bersama suaminya, Habali Yaakub, 57, mengusahakan tanaman getah di Lubuk Legong Legong sejak lebih 30 tahun dlu.
Kini, kebanyakan penoreh menghadapi tekanan setelah harga getah semakin merudum sejak beberapa minggu lalu.
Ibu kepada empat anak itu berkata, walaupun terdapat kenaikan, ia tidak banyak iaitu dalam kenaikan 20 sehingga 30 sen sahaja.
Sementara itu, seorang lagi penoreh, Alias jareh, 56, dari Kampung Weng Luar berkata, harga paling rendah setakat ini adalah RM2.85.
"Harga memang berubah-ubah, kenaikan tak banyak, tapi turunnya banyak dan mendadak," katanya ketika ditemui Ladang Getah Lubuk Legong.
Tinjauan mendapati, semua penoreh meluahkan rasa tertekan berikutan harga getah yang sangat rendah sehingga menjejaskan kemampuan mereka untuk membeli barang keperluan yang kian meningkat.
Bukan itu sahaja, kebanyakan penoreh di daerah ini sekadar bekerja di kebun orang lain.
Keadaan itu ternyata lebih memeritkan, kerana setiap hasil jualan yang tidak seberapa akan dibahagi dengan pemilik kebun.
Perlu kawal harga getah
Sementara itu, Pengerusi Biro Pertanian Umno Baling, Mohd Taufik Yaakub turut mengakui penoreh sedang terhimpit berikutan harga getah yang semakin merudum.
Menurutnya, keadaan itu ternyata memberikan kesan kepada mereka yang menjadikan perusahaan getah sebagai punca pendapatan utama.
"Itulah hakikat yang dilalui oleh penoreh getah sekarang, hasil yang diperoleh tidak seberapa dengan perit jerih mereka," katanya.
Taufik berkata, harga getah seharusnya dikawal bagi mengelakkan penoreh berhadapan dengan kesan kejatuhan harga yang melampau.
"Kita menghargai jasa kerajaan yang turut membantu memberikan wang bantuan kejatuhan harga getah kepada pemilik kebun.
"Tetapi, perlu ingat, yang yang menerima wang bantuan itu adalah pemilik kebun, bukannya penoreh getah atau mereka yang bekerja di pemilik kebun itu," katanya.
Cadang penoreh getah diberikan bantuan
Menurutnya, beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula mekanisme pemberian bantuan bagi memastikan ia adil kepada penoreh getah.
"Berbanding memberikan bantuan penuh kepada pemilik kebun ataupun mereka yang berdaftar dengan pihak Risda, bantuan juga wajar diberikan kepada mereka yang bekerja di kebun," katanya.
Taufik berkata, antara mekanismenya adalah pemilik kebun boleh menyenaraikan nama penoreh yang bekerja di kebun mereka bersama dengan keluasan kebun mereka kepada Risda.
"Wang bantuan pula wajar diberikan mengikut keluasan kebun, kerana tidak wajar tanah kecil dapat bantuan sama dengan tanah yang luas. Kerana tanah luas pastinya memerlukan penoreh yang ramai.
"Justeru, wang bantuan yang diberikan itu dapat diagihkan sama rata kepada pemilik kebun termasuk mereka yang bekerja di kebun itu," katanya.
Lebih 50 peratus penoreh bukan pemilik kebunSementara itu, Pembantu Tadbir Kanan Risda Baling turut mengakui lebih 50 peratus penoreh di daerah bukan pemilik kebun tetapi sekadar pekerja.
Menurutnya, terdapat seramai kira-kira 10,982 pemilik kebun yang berdaftar dengan Risda pada tahun 2012, manakala bagi tahun 2013 masih lagi dalam proses bancian.
"Bagi bilangan lot, Risda mencatatkan sebanyak 14,286 lot di tanah seluas 20,583.185 hektar melibatkan lapan mukim seluruh Baling bagi tahun 2012," katanya lapor SInar Harian
*** Untuk makluman semua.. gambar kat atas tu sekadar hiasan... tak ada kena mengena dengan laporan ini***