Penduduk enam kampung kecewa – Perak Today |
Penduduk enam kampung kecewa – Perak Today Posted: 23 Apr 2014 09:40 PM PDT SETIU – Penduduk di enam kampung dalam Mukim Hulu Setiu merayu kerajaan negeri campur tangan dalam isu gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka sejak tiga tahun lalu hingga menyebabkan mereka hilang punca pendapatan. Kampung terbabit ialah Kampung Hulu Seladang, Che Long, Sri Bayas, Kampung Besut, Kampung Padang dan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), Sungai Lanjut. Timbalan Pengerusi JKKK Hulu Seladang, Zainuddin Abdul Rahman berkata, kira-kira 40 pekebun di kampung terbabit mengalami kerugian lebih RM500,000 sejak tiga tahun lalu apabila tanaman getah dan kelapa sawit mereka dimusnahkan gajah liar. Menurutnya, ancaman kumpulan gajah liar dianggarkan antara 12 hingga 14 ekor itu amat serius dan perlu mendapat tindakan segera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta kerajaan negeri. "Masalah ini sudah lama berlarutan dan setiap kali laporan dibuat, memang Perhilitan datang tapi setakat ini tidak ada gajah yang ditangkap dan dipindahkan menyebabkan masalah ini berterusan. "Rata-rata pekebun kecewa kerana penat lelah mereka tidak membuahkan hasil, malah terpaksa mengalami kerugian dan hilang sumber pendapatan kerana mereka bergantung kepada hasil pertanian," katanya. Pekebun tertekan Seorang pekebun dari Kampung Che Long, Mohd Kadir Ismai, 51, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM30,000 dalam tempoh setahun apabila kebun getahnya di ceroboh berulang kali oleh kumpulan gajah liar terbabit. Menurutnya, dia buntu dan terkilan apabila punca rezekinya terjejas apabila tanaman kelapa sawit kerap dimusnahkan binatang liar tersebut. "Bayangkan separuh daripada tanaman getah saya di kawasan seluas sembilan ekar (3.6 hektar) di RTB Sungai Lanjut rosak dimusnahkan gajah liar yang masuk ke kebun saya dua kali dalam tempoh sebulan. "Saya minta Perhilitan ambil tindakan segera kerana penduduk sudah hilang sabar dan tertekan dengan masalah yang dialami. Sudah banyak kerugian kami tanggung," katanya. Pengusaha tanaman kelapa sawit, Kamal Mohd, 46, pula berkata, dia terpaksa menanam semula kelapa sawit beberapa kali kerana dimusnahkan haiwan terbabit menyebabkan dia kerugian ribuan ringgit. "Kejadian terbaru malam kelmarin, 40 pokok kelapa sawit yang berusia tiga bulan habis musnah dan saya terpaksa tanam semula. Dahlah terpaksa beli anak sawit baru, nak tunggu tempoh masa untuk dapatkan hasil juga semakin panjang," katanya. Minta tangkap segera Bagi Zali Mamat, 51, yang mengalami kerugian RM10,000 apabila hampir semua tanaman getahnya seluas dua hektar rosak menyatakan kesediaan memberi kerjasama membantu menangkap gajah liar berkenaan. "Kami berharap pihak Perhilitan berbincang dengan kerajaan negeri bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini dan bagi saya tiada lain hanya dengan cara menangkap dan memindah gajah tersebut," katanya. Kata Zali, pelbagai usaha penduduk sudah lakukan untuk mengelak gajah memasuki ladang mereka termasuk memasang pagar elektrik namun tidak berhasil. Menurutnya, selain merosakkan tanaman, gajah terbabit turut merosakkan setiap tong air pemilik kebun yang bernilai kira-kira RM50 sebuah. "Kami rayu tangkap segera gajah tersebut kerana kami juga bimbang dengan keselamatan kami setiap kali ke kebun," katanya. Katanya, gajah liar tersebut lazimnya berpecah kepada dua kumpulan dan memasuki kebun pada waktu malam hingga awal pagi kemudian bersembunyi di dalam hutan pada waktu siang. Difahamkan masalah pembalakan di kawasan hutan berdekatan ladang terbabit menyebabkan masalah itu semakin serius. -Sinar harian |
You are subscribed to email updates from cara menanam getah - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment